Walaupun kesemua perkara ditentukan oleh Allah, berikhtiar dengan pelbagai cara untuk merawat penyakit amat digalakkan oleh agama. Ia tidak bercanggah dengan konsep tawakal.
Seorang sahabat pernah bertanya kepada Nabi Muhammad: “Adakah aku tambat binatang dan aku bertawakal ataupun aku lepaskannya dan aku bertawakal?” Jawab Rasulullah: “Tambat dan bertawakal.” (Riwayat Tirmizi)
Justeru, seseorang yang menghidap sesuatu penyakit digalakkan untuk mencari ubatnya dan tidak hanya berserah kepada nasib dan takdir. Mengikut sebuah riwayat dari Usamah ibn Syuraik, beliau berkata: “Aku berada di sisi Rasulullah, tiba-tiba datanglah beberapa orang Arab Badwi dan mereka berkata: ‘Ya Rasulullah adakah kami diizinkan berubat?’ Rasulullah bersabda: ‘Wahai hamba-hamba Allah, berubatlah kerana sesungguhnya Allah tidak meletakkan sesuatu penyakit melainkan Allah meletakkan ubat untuknya kecuali satu sahaja!’ Mereka bertanya: ‘Apakah itu ya Rasulullah?’ Nabi Muhammad bersabda: ‘Penyakit tua’.” Hadis ini diriwayatkan oleh Imam Bukhari, Ahmad, Abu Daud, Ibn Majah, An-Nasai dan Tirmizi.
Rasulullah juga turut berikhtiar sebagai contoh dengan berbekam, sedangkan Baginda merupakan manusia yang paling bertawakal kepada Allah. Selepas seseorang berikhtiar, hendaklah dia bertawakal dan berserah kepada Allah kerana Dialah sebenarnya yang menyembuhkan segala penyakit.
Sejarah menunjukkan ketika umat Islam membina hospital khas sebagai contoh di
Menjauhi Yang Haram Di Dalam Pengubatan
Secara dasarnya, ubat-ubatan yang mempunyai unsur-unsur haram tidak boleh digunakan untuk berubat, kecuali di saat kecemasan. Nabi Muhammad bersabda: “Sesungguhnya Allah menurunkan penyakit dan ubat, dan Dia menjadikan bagi setiap penyakit ubatnya. Maka berubatlah, tetapi janganlah kamu berubat dengan menggunakan benda yang haram.” (Riwayat Abu Daud)
Memastikan kehalalan sesuatu perkara sebelum mengambilnya hukumnya adalah wajib. Imam Sahl bin Abdullah berkata: “Kejayaan terletak pada tiga perkara, iaitu, mengambil makanan yang halal, menunaikan amalan yang fardu dan mengikut petunjuk Rasulullah di dalam hidup.”
Pengambilan benda yang haram akan memberi kesan kepada ibadah seseorang. Berhubung dengan ini Abdullah ibn Omar ra berkata: “Apabila kamu mengerjakan solat sehingga menjadi seperti busur panah yang melengkung, dan berpuasa sehingga menjadi kurus seperti anak panah, Allah tidak menerima amalan mu melainkan apabila kamu mempunyai sifat warak yang mendinding iaitu, menjauhi yang haram di dalam hidup.”
Sehubungan dengan ini, Islam mengharamkan arak dan tidak menganggapnya sebagai ubat. Nabi Muhammad bersabda: “Sesungguhnya arak bukanlah ubat, sebaliknya ia adalah penyakit.” (Riwayat Tirmizi-Hasan Sahih)
Cara Pengubatan Yang Selamat Perlu Diutamakan
Islam menyuruh umatnya menjauhi segala perkara yang boleh mendatangkan kemudaratan, termasuk di dalam aspek pengubatan. Nabi Muhammad bersabda: “Tidak boleh melakukan kemudaratan dan tidak boleh membalas dengan kemudaratan.” (Riwayat Malik, Al-Hakim, Baihaqi dan Ibnu Majah)
Berpandukan hadis ini, segala bentuk pengubatan yang boleh mendatangkan kemudaratan, sebagai contoh pemindahan organ dengan menggunakan organ binatang (xeno-transplantation), penggunaan ubat yang boleh membawa kepada kesan sampingan yang berbahaya serta pembedahan kecantikan yang berisiko tinggi, adalah dilarang.
Sehubungan dengan ini, di dalam sebuah hadis diriwayatkan: “Rasulullah melarang penggunaan ubat yang keji.” (Riwayat Ahmad, Abu Daud, Tirmizi dan Ibn Majah)
Dalam Misykat Al-Masabih ‘ubat yang keji’ ditafsirkan sebagai ‘bahan yang mempunyai unsur yang tidak baik seperti najis, arak, kotoran, bahan-bahan yang tercemar dan seumpamanya,’ kerana ia boleh mendatangkan kemudaratan.
Pencegahan Lebih Diutamakan Daripada Pengubatan
Dalam bidang perubatan, Islam mengutamakan ‘pencegahan daripada pengubatan’ kerana ia selari dengan sunnah yang diajarkan Nabi Muhammad. Salah satu kaedah fikah yang penting di dalam ilmu Islam ialah, “menghindari kerosakan perlu diutamakan daripada mengambil kemanfaatan”. Berpandukan kaedah ini, setiap perkara yang boleh menyebabkan kerosakan serta kemudaratan diharamkan oleh Islam sejak dari awal-awal lagi.
Sebagai contoh, zina boleh mendatangkan masalah kesihatan yang kronik justeru segala perbuatan yang boleh membawa kepada zina, seperti pergaulan bebas, khalwat di antara lelaki dan perempuan dan pendedahan aurat, diharamkan oleh agama.
Di dalam konteks yang lebih luas, Islam menyuruh umatnya berdisiplin di dalam hidup kerana ia mampu mencegah daripada pelbagai penyakit. Sebagai contoh, di dalam aspek pemakanan, Nabi Muhammad menggalakkan pemakanan makanan yang berkhasiat melalui sabda Baginda: “Sesiapa yang meminum madu di waktu pagi, tiga kali pada setiap bulan, dia tidak akan menghidap penyakit-penyakit berbahaya.” (Riwayat Ibn Majah)
Di samping itu berlebih-lebihan di dalam aspek makan minum perlu dijauhi kerana ia memberi kesan yang negatif kepada kesihatan. Baginda bersabda: “Tidak ada bekas yang lebih keji daripada perut anak Adam. Cukuplah bagi anak Adam dengan beberapa suapan yang membetulkan tulang belakangnya, dan sekiranya dia terpaksa melakukannya juga maka satu pertiga untuk makanannya satu pertiga untuk minumannya dan satu pertiga untuk nafasnya.” (Riwayat Tirmizi, Ahmad, Ibn Majah dan An-Nasai)
Kesihatan gigi juga perlu dijaga. Nabi Muhammad bersabda, “Jika tidak menyusahkan umat ku, aku ingin menyuruh mereka melambatkan solat isyak dan bersugi gigi setiap kali mereka hendak melakukan solat.” (Riwayat Muslim) Apabila sesuatu wabak menyerang kawasan tertentu, prosedur pencegahan perlu dilakukan agar ia tidak merebak ke kawasan lain.
Sebagai contoh, ketika khalifah Omar ibn Khattab ra merancang untuk ke kota Syam, beliau mendapat berita bahawa kota itu diserang oleh wabak taun. Selepas bermesyuarat dengan sahabat-sahabat beliau, mereka bersetuju untuk tidak ke sana sebagai langkah berjaga-jaga. (Riwayat Bukhari)
Antara formula umum yang digunakan oleh Nabi Muhammad di dalam aspek pencegahan seperti yang disebutkan oleh Ibn Qayyim Al-Jauziyah di dalam At-Tib An-Nabawi ialah, “mengurus dan menjaga dengan baik di dalam aspek makan minum, pemakaian, kebersihan tempat tinggal, penjagaan udara dan persekitaran, penjagaan ketika tidur dan bangun, ketika bergerak dan duduk diam, mengurus perkahwinan, mengurus penggunaan masa lapang dan juga penggunaan masa ketika menyendiri dengan ibadah. Apabila kesemua ini dapat diseimbangkan dengan mengambil kira kekuatan badan, keadaan persekitaran, masa dan adat kebiasaan, ia sering kali dapat menghasilkan kesihatan dan kesejahteraan yang terbaik.”
Thursday, April 8, 2010
Berubat Disuruh Oleh Agama
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment